Tuesday, July 3, 2012

Sepanyol julang Euro 2012




 

Sepanyol julang Euro 2012





 

KIEV - Sepanyol mengesahkan status sebagai pasukan terhebat dalam sejarah bola sepak setelah membenam Itali 4-0 pada perlawanan akhir Euro 2012, sekali gus mengekalkan kejuaraan Eropah.
Skuad bimbingan jurulatih Vicente del Bosque muncul pasukan pertama mempertahankan gelaran itu dan juga julung kali memenangi pertandingan utama buat kali ketiga berturut-turut selepas merangkul Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.
Biarpun menjadi mangsa tuduhan persembahan La Roja tidak lagi mengujakan, namun aksi mereka di pentas final, semalam menepis segala keraguan dengan mempamerkan aksi cukup memukau.
Andres Iniesta dan Xavi menjadi arkitek jaringan David Silva, Jordi Alba dan Fernando Torres yang kemudiannya membantu rakan sepasukan Juan Mata meledakkan gol keempat La Roja.
Penjaring gol kemenangan Euro 2008 menentang Jerman, Torres muncul pemain pertama meledakkan gol pada dua perlawanan akhir Kejuaraan Eropah dan kemenangan itu adalah yang paling menarik dalam sejarah.
Sementara lawan mereka, Itali bermain dengan 10 pemain ketika perlawanan berbaki setengah jam selepas pemain gantian, Thiago Motta terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan yang sekali gus memadam momentum kemenangan Azzurri ke atas Jerman dan England pada peringkat kalah mati.
“Kami berdepan dengan sebuah pasukan yang cukup hebat. Mereka adalah juara dunia. Sudah tentu apabila anda bermain dengan 10 orang, perlawanan secara sendirinya sudah berakhir,” akui jurulatih Itali, Cesare Prandelli.
Bintang separuh akhir sewaktu melakar kemenangan ke atas Jerman, Mario Balotelli gagal menyerlah, sementara Andrea Pirlo ditundukkan dengan kehebatan barisan pemain tengah Sepanyol.
“Menentang Sepanyol, anda dapat menerima kekalahan ini dengan mudah. Ia merupakan satu pengembaraan yang hebat. Dalam perlawanan akhir, anda perlu menang tetapi hari ini (semalam) kami menentang sebuah pasukan yang berkualiti tinggi,” kata ketua pasukan Itali, Gianluigi Buffon.
Diketepikan sewaktu menentang Portugal pada separuh akhir, Cesc Fabregas kembali ke dalam kesebelasan utama Sepanyol bagi melengkapkan barisan sama ketika bertemu Itali pada perlawanan pertama Kumpulan C yang menyaksikan mereka seri 1-1 pada 10 Jun lalu.
Prandelli pula membuat satu perubahan dalam kesebelasan utamanya, dengan Ignazio Abate menggantikan Federico Balzaretti di posisi pertahanan kanan selepas tidak beraksi ketika menang ke atas Jerman pada separuh akhir ekoran masalah kelesuan otot.
Sepanyol hanya memerlukan 10 minit pada awal perlawanan bagi membuktikan kehebatan mereka bermain corak menyerang, menerusi Xavi yang saling bertukar hantaran dengan Fabregas sebelum melepaskan rembatan yang tersasar.
Empat minit berikutnya, Iniesta melakukan hantaran cantik ke arah Fabregas yang berjaya melepasi halangan Giorgio Chiellini sebelum menghantar bola kepada Silva yang menanduk masuk ke gawang lawan.
Gol kedua menyusul, sekali lagi menerusi gerakan Xavi empat minit sebelum rehat, setelah Alba yang berlari laju ke dalam petak penalti merembat kencang menewaskan Buffon untuk gol pertamanya di pentas antarabangsa.
Itali yang pincang kerana bermain 10 orang setelah Motta dibawa keluar, melepaskan dua lagi gol dan kali ini penyerang Sepanyol, Torres meledakkan gol ketiga pada minit ke-84 hasil hantaran Xavi sebelum membantu rakan sepasukannya dalam Chelsea, Mata melengkapkan kemenangan La Roja dengan gol keempat pada minit ke-88. – AFP

-TAHNIAH ! 

No comments:

Post a Comment